Wednesday, 27 November 2013

AKHLAK & TASAWUF - kebersihan jiwa asas peribadi mulia

PENDAHULUAN
Jiwa yang bersih merupakan jiwa yang terhindar dari segala perkara yang mengotorinya seperti sifat-sifat yang buruk. Sebagai contoh, jiwa yang terhindar dari sifat sombong, riak, dan buruk sangka. Jiwa yang bersih juga dari segi akidah ialah jiwa yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu tetapi jiwa yang mentauhidkan Allah, yakin kepada-Nya dan mengikuti ajaran yang dibawa oleh utusan-Nya.
            Jiwa yang bersih ini dapat melahirkan seseorang yang berperibadi mulia. Oleh hal demikian, dalam kajian ilmiah ini penulis akan menghuraikan serta menjelaskan definisi serta kategori jiwa, sifat-sifat jiwa yang kotor, amalan menyucikan jiwa, halangan dalam membersihkan jiwa dan definisi dan kategori peribadi mulia.

PENGERTIAN DAN KATEGORI JIWA
Jiwa menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga, membawa maksud batin iaitu perasaan, fikiran, cita-cita dan lain-lain yang terdapat dalam hati manusia. Erti jiwa ini adalah sama seperti hati. Oleh yang demikian, apabila disebut jiwa boleh difahami sebagai hati dan begitu juga sebaliknya.
            Jiwa ini merupakan potensi diri manusia selepas fizikal dan akal (Abdullah Gymnastiar 2005: 9). Perlakuan manusia banyak dikawal oleh jiwa kerana jiwa ini dapat melengkapi otak cerdas dan badan kuat menjadi mulia. Hal ini menyatakan bahawa jiwa ini penting dan perlu dijaga kerana dari hati ini akan menentukan corak kehidupan peribadi seseorang. Jiwa manusia dapat digolongkan dalam tiga jenis iaitu jiwa yang sakit, jiwa yang mati dan jiwa yang sihat.
Jiwa yang sakit merupakan jiwa yang cenderung dan menyukai makanan rohani yang akan memberinya mudharat. Selain itu, mereka yang mempunyai jiwa yang sakit ini enggan menerima santapan rohani yang bermanfaat. Mereka yang mempunyai jiwa yang sakit ini juga mempunyai rasa cinta terhadap hawa nafsu, keutamaan meraih kesenangan dan mementingkan kehidupan di dunia (Ibid: 10).
Jiwa yang mati pula sama seperti jasad yang tidak bernyawa. Jiwa yang mati ini tidak mengenal Tuhannya. Pemilik jiwa yang mati ini menolak kebenaran dari Allah dan sering melakukan kezaliman. Mereka juga sentiasa berada dan berjalan bersama hawa nafsu walaupun dibenci dan dimurkai oleh Allah. Secara ringkasnya, jiwa yang mati ini telah tertutup oleh lapisan gelap cinta dunia dan mempertaruhkan hawa nafsu (Ibid: 11).
Seterusnya ialah jiwa yang sihat. jiwa yang sihat ini akan berfugsi secara optimum. Setiap yang dilakukan itu adalah berdasarkan jiwa nurani yang bersih. Mereka yang mempunyai jiwa yang bersih ini mempunyai rasa cinta dan tawakal kepada Allah. Jiwa yang sihat ini akan membuatkan seseorang mampu berbuat yang terbaik. Apabila mempunyai jiwa yang bersih maka kehidupan akan dijalani dengan begitu nikamat (Ibid: 13)
Secara ringkasnya penulis membuat rumusan bahawa dapat diperkatakan jiwa yang bersih itu dapat menentukan kehidupan seseorang itu baik. Kehidupan akan menjadi lancar jika jiwa itu dijaga supaya menjadi bersih dan terhindar dari sebarang kekotoran yang mengotorkan jiwa.

SIFAT-SIFAT JIWA YANG KOTOR
Ciri-ciri jiwa yang bersih amat luas ruang lingkupnya. Oleh yang demikian, bagi memudahkan untuk mengenal pasti ciri-ciri jiwa yang bersih adalah dengan mengetahui perkara disebaliknya. Dengan mengenali serta mengetahui sifat-sifat jiwa yang kotor, maka dapat diketahui dengan mudah mengenai ciri-ciri jiwa yang bersih.
            Sifat jiwa yang kotor yang pertama ialah sombong. Sombong merupakan sikap meninggikan diri yang berpunca daripada perasaan bahawa diri sendiri adalah lebih baik dari orang lain serta menganggap kelebihan yang ada merupakan hasil usaha dirinya sendiri. Sifat sombong ini amat merbahaya kerana dari sifat ini akan menyebabkan seseorang itu melanggar perintah Allah malah bangga meninggalkan suruhan-Nya. Penyakit sombong ini kebiasaannya menjangkiti orang yang berjawatan tinggi. Orang yang sombong ini merasakan dirinya serba boleh dan kejayaannya dalam hidup adalah hasil kebijaksanaan dan kebolehan dirinya. Mereka ini tidak bersyukur pada Allah yang mengurniakan kebijaksanaan dan kebolehan pada dirinya (Zuridan Mohd Daud 2010: 31).
            Kemudiannya, mereka yang mempunyai jiwa yang kotor ini adalah mereka yang bersifat riak. Apabila seseorang itu melakukan sesuatu khususnya dalam perkara kebajikan dan agama bagi tujuan mendapat pujian dan sokongan manusia semata-mata. Perbuatan ini menyebabkan jiwa sentiasa kotor kerana hilangnya keikhlasan kepada Allah dalam melakukan kebaikan. Penyakit riak ini mudah menjangkiti orang yang berilmu dan ahli ibadah kerana syaitan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan amalan yang dilakukan menjadi sia-sia di akhirat kelak (Ibid: 33)
            Akhir sekali ialah sifat buruk sangka. Apabila seseorang itu ingin melakukan kebaikan syaitan akan membisikkan di hati manusia bahawa kebaikan yang dilakukan adalah tidak berfaedah. Syaitan menanamkan perasaan buruk sangka ini adalah supaya seseorang itu tidak berbuat baik sebaliknya melakukan perkara yang tidak baik. Orang yang berburuk sangka terhadap kebaikan akan berbaik sangka dengan maksiat. Kebiasaannya mereka yang berburuk sangka ini adalah mereka yang terbiasa dengan amalan-amalan maksiat dan berfikiran sekular. Mereka melihat semua yang datang dari agama itu adalah menyusahkan kehidupan manusia dan membawa kegagalan manakala amalan yang berkaitan kehendak nafsu adalah baik dan bertamadun (Ibid: 36)
            Oleh yang demikian, dengan mengenal sifat-sifat jiwa yang kotor ini dapat menjelaskan kepada kita ciri-ciri jiwa yang bersih iaitu jiwa yang terhindar daripada sifat-sifat jiwa yang kotor ini.

              AMALAN-AMALAN MENYUCIKAN JIWA
Seseorang itu perlulah berusaha sendiri untuk membersihkan jiwanya. Hal ini kerana jiwa ini penting untuk dijaga dan dibersihkan bagi memastikan tingkah lakunya juga baik. Jiwa ini perlu dididik supaya bersih bermula dari kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah, kemudiaannya diikuti dengan pembuktian sebagai hamba kepada penciptanya serta pengamalan sifat-sifat yang mulia.  Dalam usaha membersihkan jiwa ini seseorang itu haruslah bermula dengan dirinya sendiri, bukan dengan paksaan. Kesedaran itu haruslah timbul dari hati seseorang itu sendiri (Mohd Baqir Mohd Ali 1996: 26). Antara amalan-amalan yang dimaksudkan dengan amalan menyucikan jiwa ialah mengenal Allah, menjaga hubungan dengan pencipta, menjaga hubungan sesama manusia, dan menanam sifat yang mulia dalam diri.
 MENGENAL ALLAH
Mengenal Allah iaitu sebagai pencipta setiap makhluk di alam ini serta yang mengatur dan merancang setiap yang berlaku. Mengenal dan mencintai Allah merupakan langkah utama dalam membersihkan jiwa. Mengenal Allah adalah pengarah yang akan meluruskan orientasi hidup sesorang manusia. Dari sinilah manusia akan menyedari bahawa hidupnya hanya untuk Allah. Dengan mengenali Allah, seseorang itu akan mempunyai keyakinan peribadi yang sangat kuat kepada Allah sehinggakan seorang yang pemalas boleh mengubah dirinya menjadi seorang yang berani (Abdullah Gymnastiar 2005: 2). Apabila hamba itu telah mengenali Allah, maka akan timbul rasa cinta terhadap-Nya. Apabila seseorang itu mencintai Allah maka dia akan mentaati-Nya, mendahulukan perintah-Nya dari kehendak hawa nafsu (An Najwa 1996: 2). Oleh hal demikian, apabila jiwa itu yakin dengan Allah maka akan terdidiklah jiwa itu supaya terhindar dari perkara yang mengotorinya.
            Sebagai seorang hamba bukan sahaja perlu mengenal dan mencintai Allah tetapi haruslah ada keyakinan yang paling kuat pada kekuasaan dan kebijaksanaan Allah. Sesungguhnya setiap yang berlaku itu adalah atas kehendakNya serta izinNya. Sesuatu itu tidak akan berlaku hanya dengan usaha seorang hamba. Hamba perlu sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik. Di samping itu, perlu yakin dan bertawakal supaya Allah akan mengizinkan setiap yang telah diusahakan itu akan berjalan dengan lancar (An Najwa 1996: 155).
            Secara ringkasnya, penulis merumuskan bahawa apabila seseorang itu mengenal Allah iaitu penciptanya serta mencintai dan meyakiniNya maka hati seseorang itu akan bersih dan jauh dari perkara-perkara yang mengotorinya.

 MENJAGA HUBUNGAN HAMBA DENGAN PENCIPTA
Kemudiaannya dalam membersihkan jiwa, seseorang itu juga perlulah menjaga hubungannya sebagai hamba dengan Allah. Pertamanya ialah dengan menjaga solat. Solat merupakan penghubung antara hamba dengan Tuhannya.  Mengerjakannya adalah pintu segala kebaikan manakala meninggalkannya merupakan pintu segala kejahatan. Seorang hamba yang menunaikan solat maka urusannya selalu dipermudahkan dengan izin Allah (Muhammad Zul Helmi 2010: 13). Seorang hamba itu bukan sahaja perlu menjaga solat fardhu sahaja tetapi perlulah melakukan solat berjemaah, solat pada waktunya, menjaga saf di dalam solat, melakukan solat-solat sunat serta yang paling penting ialah menunaikan solat subuh di awal pagi iaitu sebagai pembuka hari atau amalan.
Selain itu, hubungan dengan Allah juga boleh dijaga dengan berpuasa. Puasa merupakan amalan termulia dan kebaikan paling besar dalam mendekatkan diri kepada Allah (Ibid: 25). Dengan berpuasa kehendak hawa nafsu yang mengarah ke arah keburukan itu dapat dikawal dan dielakkan daripada melakukannya. Bukan sahaja memastikan diri berpuasa pada bulan Ramadan tetapi juga melakukan puasa sunat pada hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti puasa pada setiap hari Isnin dan Khamis.
            Hubungan hamba juga boleh dipelihara dengan berzikir sebagai tanda mengingati Allah. Dengan mengingati Allah, hati akan tenteram dan jiwa menjadi tenang (Abdullah Gymnastiar 2010: 16). Amalan zikir ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja dan walau di mana sahaja seseorang itu berada. Tiada suatu pun penghalang yang mampu menghalang seseorang itu untuk mengingati Allah. Hal ini adalah demikian kerana, walau apa pun perbuatan yang dilakukan itu sebenarnya berkaitan dengan Allah. Sebagai contoh, apabila seseorang itu berjalan dengan memandang keindahan alam ini maka akan terlintas di fikirannya betapa hebatnya ciptaan Allah itu. Bermula di situ, akan membuatkan seseorang itu mengagungkan kehebatan serta kebijaksanaan Allah. Pujian yang lahir dari hati itu telah menunjukkan bahawa seorang hamba itu sedang memuji penciptaNya. Bagi menzahirkan pujian itu, seseorang itu hanya perlu melafazkan kalimah-kalimah yang memuji Allah. Hal ini menunjukkan bahawa mengingati Allah itu adalah mudah.
            Menunaikan setiap perintah-Nya seperti berdoa pada Allah, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji juga perlu dilakukan dalam usaha menjaga hubungan dengan Allah. Di samping itu, seorang hamba itu juga perlu menghindari diri daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Secara ringkasnya, adalah mudah seorang hamba itu hendak menjaga hubungan dengan Tuhannya iaitu dengan mengamalkan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang (Muhammad Zul Helmi 2010: 123). 
            Secara ringkasnya, penulis merumuskan bahawa apabila seseorang itu berusaha menjaga hubungannya dengan penciptanya iaitu Allah, maka dengan secara langsung jiwanya akan terpelihara daripada perkara-perkara yang dapat menbgotorkan jiwa.

   MENJAGA HUBUNGAN SESAMA MANUSIA
Selain daripada menjaga hubungan dengan Allah, kita juga perlulah menjaga hubungan sesama manusia. Hal ini adalah kerana kehidupan ini dikelilingi manusia yang pelbagai terutamanya apabila hidup bermasyarakat.
            Insan yang paling mulia yang perlu dikasihi dan disayangi ialah kedua ibu bapa kita. Ibu bapa merupakan jalan menuju ke syurga. Oleh hal demikian, sebagai anak perlulah menjaga hubungan dengan mereka iaitu dengan menghormati dan berbakti kepada mereka. Cara untuk berbakti kepada kedua ibu bapa ialah dengan melakukan segala bentuk kebaikan baik kecil mahupun besar sesuai dengan kemampuan, menjaga mereka dari segala bentuk gangguan dan mentaati segala perintahnya serta bertutur dengan mereka secara lemah-lembut (Muhammad Zul Helmi 2010: 105). Hal ini adalah berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Israa’ ayat 23 dan 24:
   
Maksudnya:
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, Dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
            Seterusnya ialah menyempurnakan janji iaitu menyempurnakan segala yang telah kita janjikan. Menyempurnakan janji ini merupakan sendi hidup bermasyarakat dan hidup bersosial. Apabila janji ini disempurnakan kekeruhan dan kekecohan dalam pergaulan manusia dapat dikurangkan. Dengan menyempurnakan janji, kehidupan akan lebih teratur (An Najwa 1996: 108). Menyempurnakan janji ini amat dituntut dalam Islam berdasarkan firman Allah dalam ayat 1, Surah al-Maidah:
š   Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang ia kehendaki.

            Seterusnya dalam menjaga hubungan sesama manusia, setiap tindakan itu haruslah memberi manfaat kepada masyarakat. Melakukan sesuatu untuk masyarakat merupakan ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah, Hal ini adalah apabila kita melakukan sesuatu itu dengan niat kerana Allah. Sebagai contoh, sekiranya kita mengharapkan  pahala dari Allah dengan memenuhi keperluan kaum muslimin, mempermudahkan urusan muslimin serta mendahulukan mereka yang sangat perlu seperti wanita, orang tua dan musafir maka berhak mendapatkan pahala bagi Allah. Sebagai contoh lain, menghulurkan sedekah kepada mereka yang memerlukan dengan niat hendak meringankan bebanan yang ditanggung (Muhammad Zul Helmi 2010: 91). Doa mereka yang mendapat manfaat dari diri kita juga menjadi bantuan kita untuk menuju ke syurga.
Rumusan yang dapat dinyatakan oleh penulis di sini ialah menjaga hubungan dengan manusia juga dapat membantu membersihkan jiwa. 

MENANAM SIKAP YANG MULIA DALAM DIRI

Memupuk sifat-sifat yang terpuji dalam diri juga dapat membersihkan jiwa. Hal ini demikian kerana, apabila sifat-sifat terpuji ini ditanam dalam hati, secara langsungnya jiwa yang kotor itu akan menjadi bersih.
            Antara sifat yang perlu ditanam dalam diri ialah ikhlas dalam setiap perbuatan dan perkataan. Ikhlas ini adalah menyerahkan diri kepada Allah. Orang yang tidak menyerahkan diri kepada Allah ialah orang yang sombong (Ibnu Taymiyyah 2006: 107). Sifat ikhlas ini ialah bersih dari segala sifat yang tidak disukai oleh Allah seperti bongkak dan riak (Abdullah Gymnastiar 2010: 37). Sifat ini dituntut dalam Islam seperti firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 112:
 
Maksudnya:
(Apa Yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

            Selain itu, sifat sabar juga perlu ditanam dalam diri supaya jiwa sentiasa bersih. Apabila mempunyai sifat sabar, maka akan termasuklah ke dalam golongan yang yakin dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kewajipan dan meninggalkan larangan (Ibnu Taymiyyah 2006: 148). Sebagai hamba perlulah sabar dalam setiap keadaan. Antara keadaan yang memerlukan kesabaran ialah apabila sakit, menghadapi dugaan dan ditimpa masalah. Apabila berada dalam keadaan ini seseorang itu perlulah berbaik sangka dengan Allah bahawa Allah itu mengetahui segalanya (Abdullah Gymnastiar 2010: 45). Ini adalah untuk membuktikan keyakinan terhadap Allah. Ini dapat dibuktikan berdasarkan ayat 153  dalam Surah al-Baqarah:

Maksudnya:
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.

            Kemudiannya ialah sifat redha iaitu menerima segala kejadian yang menimpa diri dengan rasa senang  serta tabah dengan dada yang lapang (An Najwa 1996: 167). Manusia dituntut untuk redha dalam hal seperti usaha yang telah dilakukan serta perkara yang di luar kemampuan manusia. Dalam hal ini manusia perlu menerima segala yang Allah tentukan. Dengan menerima setiap takdir Allah ini juga dapat menunjukkan keyakinan hamba kepada Allah.
            Merendah diri dan malu juga merupakan langkah dalam membersihkan jiwa seseorang. Melalui sikap merendah diri ini maka akan hilanglah sikap bongkak, angkuh dan sombong dari dirinya (Ibid: 117). Orang yang bersikap merendah diri ini akan dicintai oleh orang sekelilingnya (Ibid: 120). Melalui sifat malu pula, seseorang itu akan menurut segala perintah Allah dan tidak melakukan perkara yang dilarang oleh Allah (Ibid: 121). Hal demikian adalah kerana menjaga dirinya daripada melakukan kemungkaran. Oleh itu, dapat membuktikan bahawa dengan mempunyai sifat tawaduk dan malu ini dapat membersihkan jiwa seseorang.
Seterusnya, dalam usaha membersihkan jiwa seseorang itu perlulah bertaubat, bertaubat ini adalah untuk berpaling dari sifat yang keji kepada sifat yang mulia serta dari pendirian yang tercela kepada pendirian yang terpuji. Mereka yang bertaubat ini menyesal atas keterlanjuran mengerjakan kemungkaran dan bersungguh-sungguh melaksanakan kebajikan dan ketaqwaan (Ibid: 68).
            Niat melakukan sesuatu juga perlu diperbetulkan. Niat merupakan sebab yang memotivasikan diri dan mengerjakan sesuatu. Dalam menunaikan ibadah niat mestilah kerana menunaikan syariat Allah bukan menunaikannya kerana kebiasaan manusia (Muhammad Zul Helmi 2010: 1). Niat menunaikan sesuatu itu juga mestilah ikhlas kerana Allah. Sesungguhnya amal-amal hati itu adalah niat yang daripada itu akan lahir amal-amal zahir (Mohd Baqir Mohd Ali 1996: 16). Oleh hal demikian, jika niat itu baik maka tindakan yang dilakukan juga baik.
            Selain itu, jiwa yang bersih dapat diperoleh dengan menjauhi perkara-perkara yang dimurkai Allah. Antara perkara yang dimurkai Allah yang perlu dielakkan ialah menganiayai orang lain, mengganggu jiran, mencari aib orang lain, mengadu domba, mencaci, memaki serta mencela orang lain. Selain itu, sikap mengingkari janji serta mengugut juga perlu dielakkan (Muhammad Zul Helmi 2010: 143). Perkara-perkara yang dicela ini jika dielakkan dapat membersihkan jiwa.
            Kesimpulan ringkas yang dapat dibuat adalah dengan mengenal Allah, menjaga hubungan dengan Allah dan manusia serta menanam sifat yang mulia ini dapat membersihkan jiwa seseorang serta dapat menghindari diri seseorang itu bersikap dengan sifat-sifat yang keji.

 HALANGAN DALAM MEMBERSIHKAN JIWA
Dalam melakukan setiap kebaikan pasti wujud penghalang. Begitu juga dengan usaha membersihkan jiwa ini, terdapat beberapa penghalang yang menghalanginya. Halangan yang paling besar ialah hawa nafsu (Abdullah Gymnastiar 2005: 119). Hawa nafsu ini amat berat kerana datangnya dari syaitan. Seperti mana yang diketahui bahawa syaitan itu musuh utama manusia. Seperti dalam firman Allah dalam Surah al-Faathir ayat 6:

Maksudnya:
Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.

            Selain itu, cabaran kehidupan masa kini juga menjadi penghalang dalam membersihkan jiwa seseorang. Hidup di dunia ini penuh dengan bermacam-macam peristiwa dan kejadian yang selalu menuntut perjuangan moral (Amina Hj Noor 2000: 173). Setiap yang dihadapi dalam kehidupan seharian ini sentiasa menuntut kepada kekuatan iman dan keteguhan pegangan hidup seseorang. Hal ini boleh dilihat apabila hendak mendapatkan sesuatu dengan mudah, itu membawa kepada seseorang untuk memberi rasuah. Hal ini boleh menggugat keimanan seseorang daripada terus bersikap dengan sifat yang terpuji. Selain itu, dugaan dan masalah dalam hidup juga akan menjadi penghalang. Hal ini kerana, pada ketika itu pemikiran tidak stabil dan pada ketika itu, mudah bagi seseorang itu untuk membuat tindakan tanpa memikirkan natijahnya. Ini juga memerlukan kekutan iman dan keyakinan yang kuat pada Allah supaya tidak terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.
            Di samping itu, sifat-sifat keji juga merupakan salah satu penghalang dalam membersihkan jiwa. Antara sifat keji ialah sombong, tamak, riak dan banyak lagi sifat-sifat yang mudah menjangkiti hati manusia. Oleh hal demikian, setiap individu itu perlu menguatkan iman untuk mengelakkan dari menghidapi penyakit yang membawa kepada sifat-sifat keji.

        KEWAJIPAN MEMBERSIHKAN JIWA
Jiwa ini merupakan komponen diri manusia yang penting. Oleh hal demikian, jiwa ini perlu dijaga supaya tidak dikotori. Jiwa ini perlu dibersihkan apabila telah kotor kerana setiap tindakan dan peribadi seseorang itu akan terhasil daripada keputusan jiwa (Ibnu Taymiyyah 2006: 27). Jiwa merupakan raja segalanya dalam diri manusia. Ini membuktikan bahawa jiwa itu wajib dibersihkan dan dijaga dengan baik. Hal ini berdasarkan firman Allah dalam ayat 9 dan 10 Surah al-Syams:
  
Maksudnya:
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan Sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

            Jiwa ini sangat mempengaruhi hidup manusia (Abdullah Gymnastiar 2010: 34). Justeru itu, dapatlah diketahui bahawa jiwa itu perlu dijaga sebaiknya dan dibersihkan daripada perkara-perkara yang mengotorinya. Ini adalah bagi menjaga peribadi seseorang itu juga.

 PERIBADI MULIA
Peribadi mulia itu ialah seseorang individu yang mempunyai sikap dan tingkah laku terpuji yang lahir daripada akhlak yang baik. Akhlak itu akan memastikan peribadi seseorang. Jika akhlaknya baik maka peribadinya mulia, jika akhlak buruk maka peribadi seseorang itu akan berat kepada sifat-sifat keji. Oleh hal demikian dapatlah difahami bahasa peribadi seseorang itu dibentuk oleh akhlak yang tertanam dalam jiwanya.
            Akhlak ini sebenarnya terdiri hasil daripada akidah. Tanpa akidah sistem akhlak tidak terbina. Manakala peribadi seseorang itu pula bergantung kepada akhlaknya. Dari sini dapat dilihat hubungan antara akidah, akhlak dan peribadi. Tanpa akidah seseorang itu tidak dapat berakhlak dengan akhlak yang baik. Tanpa akhlak yang baik pula tidak dapat melahirkan seorang individu yang berperibadi mulia (Haron Din 2007: 13).
            Justeru, dapat disimpulkan bahawa peribadi mulia itu adalah hasil daripada didikan akidah yang membentuk akhlak baik. Ini bermakna, seseorang yang mempunyai akhlak yang baik akan berperibadi mulia. Atau dalam erti kata lain, akhlak yang baik atau mulia itu membawa maksud yang sama dengan peribadi mulia.

              KATEGORI PERIBADI MULIA
Apabila diperkatakan mengenai akhlak yang mulia, ini adalah suatu ruang lingkup yang terlalu luas. Tidak mudah sebenarnya untuk mengklasifikasikan ciri-ciri akhlak yang mulia ini kerana hal bergantung kepada setiap diri manusia. Walau bagaimanapun, secara ringkasnya akhlak yang mulia ini dikategorikan kepada empat iaitu berakhlak mulia terhadap Allah dan Rasul, terhadap kedua ibu bapa serta berakhlak mulia dalam kehidupan harian dan kehidupan bersosial.

  BERAKHLAK MULIA TERHADAP ALLAH DAN RASUL
Berakhlak mulia terhadap Allah adalah dengan mengabdikan diri kepada Allah. Sebagai seorang hamba adalah wajib ke atas kita untuk menghambakan diri kepada Allah kerana kita dicipta semata-mata untuk beribadah kepada-Nya. Adalah mudah bagi manusia untuk menghambakan diri pada penciptanya iaitu dengan melakukan setiap perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang. Meyakini setiap ketentuanNya dan menikmati serta menggunakan nikmat yang dikurniakan juga merupakan salah satu daripada bukti mengabdikan diri kepada pencipta alam ini (Hasan Hj Mohd Ali 1996: 1).
            Berakhlak mulia terhadap rasul pula adalah dengan mengasihi Rasulullah SAW.  Kasih dan cinta kepada Rasulullah adalah suatu kemestian dalam kehidupan seorang individu muslim. Setiap muslim mesti berbuat demikian kerana Baginda adalah orang yang paling berjasa dalam membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada manusia. Tanpa Rasulullah sudah tentu manusia berada dalam kegelapan dan kesesatan. Cinta dan kasih terhadap Baginda dapar direalisasikan dengan mencontohi teladan Rasulullah dalam kehidupan seharian. Cara hidup Baginda serta sikap yang ada pada diri Baginda perlu dijadikan contoh dalam kehidupan kita (Hasan Hj. Mohd Ali 1996: 3).
            Dapat dirumuskan di sini bahawa, salah satu daripada peribadi mulia itu ialah berperibadi mulia terhadap Allah dan Rasulnya. Peribadi mulia ini akan wujud pada diri seseorang itu apabila jiwanya yang bersih mempunyai kesedaran untuk berperibadi mulia. 

        BERPERIBADI MULIA TERHADAP IBU BAPA
Ibu bapa merupakan tapak permulaan hidup seseorang. Ibu bapa sentiasa memberikan segala yang termampu dan kadang kala di luar kemampuan mereka demi keselesaan anak-anak. Oleh hal demikian, adalah wajib seorang anak itu menghormati, memuliakan dan mengasihi ibu bapa mereka (Hasan Hj. Mohd Ali 1996: 9).
            Berakhlak mulia dengan kedua-dua ibu bapa ialah dengan mengasihi mereka, menghormati mereka dari segi perkataan, perbuatan serta perlakuan. Kita juga perlulah berterima kasih serta mengenang jasa mereka dengan berkhidmat pula kepada mereka setelah mereka banyak berjasa kepada kita. Selain itu, kita juga perlulah menjaga hubungan dengan adik-beradik supaya menyenangkan hati kedua-dua ibu bapa kita. Kehidupan seorang anak itu akan mudah dan berkat dengan restu serta keredhaan kedua-dua ibu bapa.

  BERPERIBADI MULIA DALAM KEHIDUPAN HARIAN
Berakhlak mulia dalam kehidupan harian ialah mengamalkan perkataan serta perbuatan yang baik dan terpuji (Hasan Hj. Mohd Ali 1996: 43). Amalan terpuji ini perlulah dilakukan dari awal pagi iaitu ketika bangun tidur sehingga kembali untuk tidur semula pada waktu malam. Amalan yang terpuji ini bukan sahaja terhadap diri sendiri malah terhadap setiap yang berada di sekeliling kita sepanjang menjalani kehidupan seharian. Ini adalah memastikan kehidupan seharian kita berjalan dengan lancar dan di dalam berkat dan rahmat Allah.
            Antara amalan yang baik yang perlu dilakukan ialah, membaca doa ketika hendak melakukan setiap perkara seperti doa bangun tidur, doa masuk tandas, doa berpakaian, doa makan, doa keluar rumah, doa naik kenderaan dan setiap perkara yang hendak dilakukan. Selain itu, kita perlu bersabar dalam setiap perkara, bertolak ansur dengan orang lain, menyempurnakan janji, membantu orang yang susah, serta menjaga tutur dan adab dalam setiap keadaan. Pelbagai amalan baik yang boleh dilakukan dalam kehidupan seharian yang lahir daripada jiwa yang bersih. Oleh hal demikian, jiwa seseorang itu perlu dijaga supaya bersih dari perkara-perkara yang mengotorinya agar dapat berperibadi mulia.

    BERAKHLAK MULIA DALAM KEHIDUPAN BERSOSIAL
Sebagai manusia yang diciptakan oleh Allah, kita secara fitrahnya akan hidup dalam bermasyarakat. Hal ini demikian kerana, tiada suatu perkara pun yang dapat dilakukan dalam keadaan sendirian. Setiap yang tidak mengetahui perlu diajarkan, setiap yang tidak boleh perlu kepada bantuan. Oleh hal demikian, dalam meneruskan kehidupan di bumi ini kita tidak boleh bersikap individualistik iaitu mementingkan diri sendiri tetapi perlulah berakhlak mulia dalam bermasyarakat (Ibid: 175).
            Antara akhlak mulia yang boleh diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat ialah dengan mengamalkan akhlak mulia ketika berada di samping orang tua iaitu menghormati mereka dengan bertuturkan perkataan yang sopan, ketika di rumah di samping jiran-jiran pula kita perlu bertolak ansur iaitu memahami cara kehidupan mereka. Selain itu, melayan tetamu, menerima jemputan, memberi salam dan memberi bantuan kepada yang memerlukan juga merupakan amalan mulia yang perlu dilakukan dalam kehidupan bermasyarakat. Ini adalah bagi memastikan tiada kekeruhan dan kekecohan di antara masyarakat.   

            KESIMPULAN
Jiwa ini adalah seperti tanaman, tidak akan tumbuh berkembang dan menjadi baik kecuali jika diberi sesuatu yang bermanfaat dan dijauhkan dari segala yang merosakkan. Meninggalkan perbauatan keji dapat menjadikan jiwa bersih. Apabila jiwa bertaubat atas dosa-dosa yang dibuat dengan membersihkannya maka kekuatan jiwa akan kembali pulih. Keinginan untuk beramal soleh akan datang.
            Semua perbuatan manusia itu berdasarkan pada jiwa. Keadaan jiwa akan menentukan sama ada sesuatu itu memberi manfaat atau mudarat. Walau bagaimanapun, yang paling penting ialah keadaan jiwa itu mesti bersih dan seimbang. Kesedaran yang lahir daripada jiwa juga penting dalam membentuk peribadi seseorang. Apabila dalam jiwa itu bertekad untuk mengikut jalan yang lurus iaitu cara hidup Islam, maka peribadi yang lahir dari jiwa yang bersih itu adalah peribadi yang mulia.
            Membersihkan jiwa itu merupakan salah satu cara membentuk peribadi seseorang. Hal ini adalah berdasarkan tujuan diutuskan rasul kepada manusia ialah untuk membentuk akhlak umat manusia. Perintahkan membersihkan jiwa turut disebutkan dalam al-Quran yang diturunkan oleh Allah iaitu dalam Surah al-Jumu’ah ayat 2:
  
Maksudnya: Dia lah Yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan Sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang  nyata.

                Imam Al-Qurtubi telah menghuraikan ayat di atas dengan menyatakan tugas Rasulullah adalah sebagai seorang agen pembangunan insan. Salah satu daripada kaedah yang digunakan oleh Rasulullah dalam membentuk peribadi manusia ialah dengan membersihkan jiwa manusia.
Oleh hal demikian, secara tegasnya dapat diperkatakan bahawa membersihkan jiwa itu merupakan salah satu kaedah dalam membentuk peribadi mulia. Kesimpulannya, adalah tepat bahawa kebersihan jiwa itu asas peribadi mulia. Ini bermakna, seseorang yang mempunyai jiwa yang bersih pasti akan berperibadi mulia.




RUJUKAN
Abdullah Gymnastiar. 2005. Aku Bisa, Manajemen Qolbu untuk Melejitkan Potensi. Bandung. Khas MQ.
Abdullah Gymnastiar. 2010. Mencari Ketenangan Jiwa. Kuala Lumpur. Must Read Sdn. Bhd.
Amina Hj. Noor. 2000. Menjana Jiwa yang Luhur dan Kental. Selangor. Penerbitan Darul Iman Sdn Bhd.
An Najwa. 1996. Bagaimana Memiliki Jiwa yang Tenang. Selangor. Pustaka Ilmi.
Haron Din. 2007. Islam Rujukan Efektif Akhlak Mulia. Selangor. PTS Millennia Sdn. Bhd.
Hasan Hj. Mohd Daud. 1996. 100 Akhlak Mulia. Kuala Lumpur. Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Ibnu Taymiyyah. 2006. Jangan Biarkan Penyakit Hati Bersemi. Jakarta. PT Serambi Ilmu Semesta.
Mohd Baqir Mohd Ali. 1996. Latihan dan Perjalanan Orang-orang yang Mensucikan Hati. Kuala Lumpur. Era Ilmu Sdn. Bhd.
Muhammad Zul Helmi. 2010. Kenal dan Sucikan Jiwamu. Kuala Lumpur. Mulia Terang Sdn. Bhd.
Zuridan Mohd Daud. 2010. Penyucian Jiwa. Kuala Lumpur. Must Read Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment