PENDAHULUAN
Jiwa yang bersih merupakan jiwa yang terhindar dari segala perkara
yang mengotorinya seperti sifat-sifat yang buruk. Sebagai contoh, jiwa yang
terhindar dari sifat sombong, riak, dan buruk sangka. Jiwa yang bersih
juga dari segi akidah ialah jiwa yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu
tetapi jiwa yang mentauhidkan Allah, yakin kepada-Nya dan mengikuti ajaran yang
dibawa oleh utusan-Nya.
Jiwa yang bersih
ini dapat melahirkan seseorang yang berperibadi mulia. Oleh hal demikian, dalam
kajian ilmiah ini penulis akan menghuraikan serta menjelaskan definisi serta
kategori jiwa, sifat-sifat jiwa yang kotor, amalan menyucikan jiwa, halangan
dalam membersihkan jiwa dan definisi dan kategori peribadi mulia.
PENGERTIAN DAN KATEGORI JIWA
Jiwa menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga, membawa maksud batin
iaitu perasaan, fikiran, cita-cita dan lain-lain yang terdapat dalam hati
manusia. Erti jiwa ini adalah sama seperti hati. Oleh yang demikian, apabila
disebut jiwa boleh difahami sebagai hati dan begitu juga sebaliknya.
Jiwa ini merupakan
potensi diri manusia selepas fizikal dan akal (Abdullah Gymnastiar 2005: 9).
Perlakuan manusia banyak dikawal oleh jiwa kerana jiwa ini dapat melengkapi
otak cerdas dan badan kuat menjadi mulia. Hal ini menyatakan bahawa jiwa ini
penting dan perlu dijaga kerana dari hati ini akan menentukan corak kehidupan
peribadi seseorang. Jiwa manusia dapat digolongkan dalam tiga jenis iaitu jiwa
yang sakit, jiwa yang mati dan jiwa yang sihat.
Jiwa yang sakit merupakan jiwa yang cenderung dan menyukai makanan
rohani yang akan memberinya mudharat. Selain itu, mereka yang mempunyai
jiwa yang sakit ini enggan menerima santapan rohani yang bermanfaat. Mereka
yang mempunyai jiwa yang sakit ini juga mempunyai rasa cinta terhadap hawa nafsu,
keutamaan meraih kesenangan dan mementingkan kehidupan di dunia (Ibid: 10).
Jiwa yang mati pula sama seperti jasad yang tidak bernyawa. Jiwa yang
mati ini tidak mengenal Tuhannya. Pemilik jiwa yang mati ini menolak kebenaran
dari Allah dan sering melakukan kezaliman. Mereka juga sentiasa berada dan
berjalan bersama hawa nafsu walaupun dibenci dan dimurkai oleh Allah. Secara
ringkasnya, jiwa yang mati ini telah tertutup oleh lapisan gelap cinta dunia
dan mempertaruhkan hawa nafsu (Ibid: 11).
Seterusnya ialah jiwa yang sihat. jiwa yang sihat ini akan berfugsi
secara optimum. Setiap yang dilakukan itu adalah berdasarkan jiwa nurani yang
bersih. Mereka yang mempunyai jiwa yang bersih ini mempunyai rasa cinta dan
tawakal kepada Allah. Jiwa yang sihat ini akan membuatkan seseorang mampu
berbuat yang terbaik. Apabila mempunyai jiwa yang bersih maka kehidupan akan
dijalani dengan begitu nikamat (Ibid: 13)
Secara ringkasnya penulis membuat rumusan bahawa dapat diperkatakan
jiwa yang bersih itu dapat menentukan kehidupan seseorang itu baik. Kehidupan
akan menjadi lancar jika jiwa itu dijaga supaya menjadi bersih dan terhindar
dari sebarang kekotoran yang mengotorkan jiwa.
SIFAT-SIFAT JIWA YANG KOTOR
Ciri-ciri jiwa yang bersih amat luas ruang lingkupnya. Oleh yang
demikian, bagi memudahkan untuk mengenal pasti ciri-ciri jiwa yang bersih
adalah dengan mengetahui perkara disebaliknya. Dengan mengenali serta
mengetahui sifat-sifat jiwa yang kotor, maka dapat diketahui dengan mudah
mengenai ciri-ciri jiwa yang bersih.
Sifat jiwa yang
kotor yang pertama ialah sombong. Sombong merupakan sikap meninggikan diri yang
berpunca daripada perasaan bahawa diri sendiri adalah lebih baik dari orang
lain serta menganggap kelebihan yang ada merupakan hasil usaha dirinya sendiri.
Sifat sombong ini amat merbahaya kerana dari sifat ini akan menyebabkan
seseorang itu melanggar perintah Allah malah bangga meninggalkan suruhan-Nya.
Penyakit sombong ini kebiasaannya menjangkiti orang yang berjawatan tinggi.
Orang yang sombong ini merasakan dirinya serba boleh dan kejayaannya dalam
hidup adalah hasil kebijaksanaan dan kebolehan dirinya. Mereka ini tidak
bersyukur pada Allah yang mengurniakan kebijaksanaan dan kebolehan pada dirinya
(Zuridan Mohd Daud 2010: 31).
Kemudiannya,
mereka yang mempunyai jiwa yang kotor ini adalah mereka yang bersifat riak.
Apabila seseorang itu melakukan sesuatu khususnya dalam perkara kebajikan dan
agama bagi tujuan mendapat pujian dan sokongan manusia semata-mata. Perbuatan
ini menyebabkan jiwa sentiasa kotor kerana hilangnya keikhlasan kepada Allah
dalam melakukan kebaikan. Penyakit riak ini mudah menjangkiti orang yang
berilmu dan ahli ibadah kerana syaitan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk
memastikan amalan yang dilakukan menjadi sia-sia di akhirat kelak (Ibid: 33)
Akhir sekali ialah
sifat buruk sangka. Apabila seseorang itu ingin melakukan kebaikan syaitan akan
membisikkan di hati manusia bahawa kebaikan yang dilakukan adalah tidak
berfaedah. Syaitan menanamkan perasaan buruk sangka ini adalah supaya seseorang
itu tidak berbuat baik sebaliknya melakukan perkara yang tidak baik. Orang yang
berburuk sangka terhadap kebaikan akan berbaik sangka dengan maksiat.
Kebiasaannya mereka yang berburuk sangka ini adalah mereka yang terbiasa dengan
amalan-amalan maksiat dan berfikiran sekular. Mereka melihat semua yang datang
dari agama itu adalah menyusahkan kehidupan manusia dan membawa kegagalan
manakala amalan yang berkaitan kehendak nafsu adalah baik dan bertamadun (Ibid:
36)
Oleh yang
demikian, dengan mengenal sifat-sifat jiwa yang kotor ini dapat menjelaskan
kepada kita ciri-ciri jiwa yang bersih iaitu jiwa yang terhindar daripada sifat-sifat
jiwa yang kotor ini.
AMALAN-AMALAN MENYUCIKAN JIWA
Seseorang itu perlulah berusaha sendiri untuk membersihkan jiwanya.
Hal ini kerana jiwa ini penting untuk dijaga dan dibersihkan bagi memastikan
tingkah lakunya juga baik. Jiwa ini perlu dididik supaya bersih bermula dari
kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah, kemudiaannya diikuti dengan
pembuktian sebagai hamba kepada penciptanya serta pengamalan sifat-sifat yang
mulia. Dalam usaha membersihkan jiwa ini
seseorang itu haruslah bermula dengan dirinya sendiri, bukan dengan paksaan.
Kesedaran itu haruslah timbul dari hati seseorang itu sendiri (Mohd Baqir Mohd
Ali 1996: 26). Antara amalan-amalan yang dimaksudkan dengan amalan menyucikan
jiwa ialah mengenal Allah, menjaga hubungan dengan pencipta, menjaga hubungan
sesama manusia, dan menanam sifat yang mulia dalam diri.
MENGENAL ALLAH
Mengenal Allah iaitu sebagai pencipta setiap makhluk di alam ini
serta yang mengatur dan merancang setiap yang berlaku. Mengenal dan mencintai
Allah merupakan langkah utama dalam membersihkan jiwa. Mengenal Allah adalah
pengarah yang akan meluruskan orientasi hidup sesorang manusia. Dari sinilah manusia
akan menyedari bahawa hidupnya hanya untuk Allah. Dengan mengenali Allah,
seseorang itu akan mempunyai keyakinan peribadi yang sangat kuat kepada Allah
sehinggakan seorang yang pemalas boleh mengubah dirinya menjadi seorang yang
berani (Abdullah Gymnastiar 2005: 2). Apabila hamba itu telah mengenali Allah,
maka akan timbul rasa cinta terhadap-Nya. Apabila seseorang itu mencintai Allah
maka dia akan mentaati-Nya, mendahulukan perintah-Nya dari kehendak hawa nafsu
(An Najwa 1996: 2). Oleh hal demikian, apabila jiwa itu yakin dengan Allah maka
akan terdidiklah jiwa itu supaya terhindar dari perkara yang mengotorinya.
Sebagai seorang
hamba bukan sahaja perlu mengenal dan mencintai Allah tetapi haruslah ada
keyakinan yang paling kuat pada kekuasaan dan kebijaksanaan Allah. Sesungguhnya
setiap yang berlaku itu adalah atas kehendakNya serta izinNya. Sesuatu itu
tidak akan berlaku hanya dengan usaha seorang hamba. Hamba perlu sentiasa
berusaha untuk melakukan yang terbaik. Di samping itu, perlu yakin dan
bertawakal supaya Allah akan mengizinkan setiap yang telah diusahakan itu akan
berjalan dengan lancar (An Najwa 1996: 155).
Secara ringkasnya,
penulis merumuskan bahawa apabila seseorang itu mengenal Allah iaitu
penciptanya serta mencintai dan meyakiniNya maka hati seseorang itu akan bersih
dan jauh dari perkara-perkara yang mengotorinya.
MENJAGA HUBUNGAN
HAMBA DENGAN PENCIPTA
Kemudiaannya dalam membersihkan jiwa, seseorang itu juga perlulah
menjaga hubungannya sebagai hamba dengan Allah. Pertamanya ialah dengan menjaga
solat. Solat merupakan penghubung antara hamba dengan Tuhannya. Mengerjakannya adalah pintu segala kebaikan
manakala meninggalkannya merupakan pintu segala kejahatan. Seorang hamba yang
menunaikan solat maka urusannya selalu dipermudahkan dengan izin Allah
(Muhammad Zul Helmi 2010: 13). Seorang hamba itu bukan sahaja perlu menjaga
solat fardhu sahaja tetapi perlulah melakukan solat berjemaah, solat pada
waktunya, menjaga saf di dalam solat, melakukan solat-solat sunat serta yang paling
penting ialah menunaikan solat subuh di awal pagi iaitu sebagai pembuka hari
atau amalan.
Selain itu, hubungan dengan Allah juga boleh dijaga dengan
berpuasa. Puasa merupakan amalan termulia dan kebaikan paling besar dalam
mendekatkan diri kepada Allah (Ibid: 25). Dengan berpuasa kehendak hawa nafsu
yang mengarah ke arah keburukan itu dapat dikawal dan dielakkan daripada
melakukannya. Bukan sahaja memastikan diri berpuasa pada bulan Ramadan tetapi
juga melakukan puasa sunat pada hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti
puasa pada setiap hari Isnin dan Khamis.
Hubungan hamba
juga boleh dipelihara dengan berzikir sebagai tanda mengingati Allah. Dengan
mengingati Allah, hati akan tenteram dan jiwa menjadi tenang (Abdullah
Gymnastiar 2010: 16). Amalan zikir ini boleh dilakukan pada bila-bila masa
sahaja dan walau di mana sahaja seseorang itu berada. Tiada suatu pun
penghalang yang mampu menghalang seseorang itu untuk mengingati Allah. Hal ini
adalah demikian kerana, walau apa pun perbuatan yang dilakukan itu sebenarnya
berkaitan dengan Allah. Sebagai contoh, apabila seseorang itu berjalan dengan
memandang keindahan alam ini maka akan terlintas di fikirannya betapa hebatnya
ciptaan Allah itu. Bermula di situ, akan membuatkan seseorang itu mengagungkan
kehebatan serta kebijaksanaan Allah. Pujian yang lahir dari hati itu telah
menunjukkan bahawa seorang hamba itu sedang memuji penciptaNya. Bagi
menzahirkan pujian itu, seseorang itu hanya perlu melafazkan kalimah-kalimah
yang memuji Allah. Hal ini menunjukkan bahawa mengingati Allah itu adalah
mudah.
Menunaikan setiap
perintah-Nya seperti berdoa pada Allah, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji
juga perlu dilakukan dalam usaha menjaga hubungan dengan Allah. Di samping itu,
seorang hamba itu juga perlu menghindari diri daripada melakukan perkara yang
dilarang oleh Allah. Secara ringkasnya, adalah mudah seorang hamba itu hendak
menjaga hubungan dengan Tuhannya iaitu dengan mengamalkan perkara yang disuruh
dan meninggalkan perkara yang dilarang (Muhammad Zul Helmi 2010: 123).
Secara ringkasnya,
penulis merumuskan bahawa apabila seseorang itu berusaha menjaga hubungannya dengan
penciptanya iaitu Allah, maka dengan secara langsung jiwanya akan terpelihara daripada
perkara-perkara yang dapat menbgotorkan jiwa.
MENJAGA HUBUNGAN
SESAMA MANUSIA
Selain daripada menjaga hubungan dengan Allah, kita juga perlulah
menjaga hubungan sesama manusia. Hal ini adalah kerana kehidupan ini dikelilingi
manusia yang pelbagai terutamanya apabila hidup bermasyarakat.
Insan yang paling
mulia yang perlu dikasihi dan disayangi ialah kedua ibu bapa kita. Ibu bapa
merupakan jalan menuju ke syurga. Oleh hal demikian, sebagai anak perlulah
menjaga hubungan dengan mereka iaitu dengan menghormati dan berbakti kepada
mereka. Cara untuk berbakti kepada kedua ibu bapa ialah dengan melakukan segala
bentuk kebaikan baik kecil mahupun besar sesuai dengan kemampuan, menjaga
mereka dari segala bentuk gangguan dan mentaati segala perintahnya serta
bertutur dengan mereka secara lemah-lembut (Muhammad Zul Helmi 2010: 105). Hal
ini adalah berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Israa’ ayat 23 dan
24:
Maksudnya:
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah
melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu
bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada
umur tua dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah engkau berkata kepada
mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan
janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka
perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri
kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk
mereka, Dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka
berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan
mendidikku semasa kecil."
Seterusnya ialah
menyempurnakan janji iaitu menyempurnakan segala yang telah kita janjikan.
Menyempurnakan janji ini merupakan sendi hidup bermasyarakat dan hidup
bersosial. Apabila janji ini disempurnakan kekeruhan dan kekecohan dalam
pergaulan manusia dapat dikurangkan. Dengan menyempurnakan janji, kehidupan
akan lebih teratur (An Najwa 1996: 108). Menyempurnakan janji ini amat dituntut
dalam Islam berdasarkan firman Allah dalam ayat 1, Surah al-Maidah:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta
sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan)
binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan
(tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan
sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika
kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang ia
kehendaki.
Seterusnya dalam
menjaga hubungan sesama manusia, setiap tindakan itu haruslah memberi manfaat
kepada masyarakat. Melakukan sesuatu untuk masyarakat merupakan ruang untuk
mendekatkan diri kepada Allah, Hal ini adalah apabila kita melakukan sesuatu
itu dengan niat kerana Allah. Sebagai contoh, sekiranya kita mengharapkan pahala dari Allah dengan memenuhi keperluan
kaum muslimin, mempermudahkan urusan muslimin serta mendahulukan mereka yang
sangat perlu seperti wanita, orang tua dan musafir maka berhak mendapatkan
pahala bagi Allah. Sebagai contoh lain, menghulurkan sedekah kepada mereka yang
memerlukan dengan niat hendak meringankan bebanan yang ditanggung (Muhammad Zul
Helmi 2010: 91). Doa mereka yang mendapat manfaat dari diri kita juga menjadi
bantuan kita untuk menuju ke syurga.
Rumusan yang dapat dinyatakan oleh penulis di sini ialah menjaga
hubungan dengan manusia juga dapat membantu membersihkan jiwa.
MENANAM SIKAP YANG
MULIA DALAM DIRI
Memupuk sifat-sifat yang terpuji dalam diri juga dapat membersihkan
jiwa. Hal ini demikian kerana, apabila sifat-sifat terpuji ini ditanam dalam
hati, secara langsungnya jiwa yang kotor itu akan menjadi bersih.
Antara sifat yang
perlu ditanam dalam diri ialah ikhlas dalam setiap perbuatan dan perkataan. Ikhlas
ini adalah menyerahkan diri kepada Allah. Orang yang tidak menyerahkan diri
kepada Allah ialah orang yang sombong (Ibnu Taymiyyah 2006: 107). Sifat ikhlas
ini ialah bersih dari segala sifat yang tidak disukai oleh Allah seperti
bongkak dan riak (Abdullah Gymnastiar 2010: 37). Sifat ini dituntut dalam Islam
seperti firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 112:
Maksudnya:
(Apa Yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang
menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha
supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan
tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap
mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
Selain itu, sifat
sabar juga perlu ditanam dalam diri supaya jiwa sentiasa bersih. Apabila
mempunyai sifat sabar, maka akan termasuklah ke dalam golongan yang yakin dan
bersungguh-sungguh dalam melakukan kewajipan dan meninggalkan larangan (Ibnu
Taymiyyah 2006: 148). Sebagai hamba perlulah sabar dalam setiap keadaan. Antara
keadaan yang memerlukan kesabaran ialah apabila sakit, menghadapi dugaan dan
ditimpa masalah. Apabila berada dalam keadaan ini seseorang itu perlulah
berbaik sangka dengan Allah bahawa Allah itu mengetahui segalanya (Abdullah
Gymnastiar 2010: 45). Ini adalah untuk membuktikan keyakinan terhadap Allah.
Ini dapat dibuktikan berdasarkan ayat 153
dalam Surah al-Baqarah:
Maksudnya:
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! mintalah pertolongan
(untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan)
dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana Sesungguhnya Allah
menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.
Kemudiannya ialah
sifat redha iaitu menerima segala kejadian yang menimpa diri dengan rasa
senang serta tabah dengan dada yang
lapang (An Najwa 1996: 167). Manusia dituntut untuk redha dalam hal seperti
usaha yang telah dilakukan serta perkara yang di luar kemampuan manusia. Dalam hal
ini manusia perlu menerima segala yang Allah tentukan. Dengan menerima setiap
takdir Allah ini juga dapat menunjukkan keyakinan hamba kepada Allah.
Merendah diri dan
malu juga merupakan langkah dalam membersihkan jiwa seseorang. Melalui sikap
merendah diri ini maka akan hilanglah sikap bongkak, angkuh dan sombong dari
dirinya (Ibid: 117). Orang yang bersikap merendah diri ini akan dicintai oleh
orang sekelilingnya (Ibid: 120). Melalui sifat malu pula, seseorang itu akan
menurut segala perintah Allah dan tidak melakukan perkara yang dilarang oleh
Allah (Ibid: 121). Hal demikian adalah kerana menjaga dirinya daripada
melakukan kemungkaran. Oleh itu, dapat membuktikan bahawa dengan mempunyai
sifat tawaduk dan malu ini dapat membersihkan jiwa seseorang.
Seterusnya, dalam usaha membersihkan jiwa seseorang itu perlulah
bertaubat, bertaubat ini adalah untuk berpaling dari sifat yang keji kepada
sifat yang mulia serta dari pendirian yang tercela kepada pendirian yang
terpuji. Mereka yang bertaubat ini menyesal atas keterlanjuran mengerjakan
kemungkaran dan bersungguh-sungguh melaksanakan kebajikan dan ketaqwaan (Ibid:
68).
Niat melakukan
sesuatu juga perlu diperbetulkan. Niat merupakan sebab yang memotivasikan diri
dan mengerjakan sesuatu. Dalam menunaikan ibadah niat mestilah kerana
menunaikan syariat Allah bukan menunaikannya kerana kebiasaan manusia (Muhammad
Zul Helmi 2010: 1). Niat menunaikan sesuatu itu juga mestilah ikhlas kerana
Allah. Sesungguhnya amal-amal hati itu adalah niat yang daripada itu akan lahir
amal-amal zahir (Mohd Baqir Mohd Ali 1996: 16). Oleh hal demikian, jika niat
itu baik maka tindakan yang dilakukan juga baik.
Selain itu, jiwa
yang bersih dapat diperoleh dengan menjauhi perkara-perkara yang dimurkai
Allah. Antara perkara yang dimurkai Allah yang perlu dielakkan ialah
menganiayai orang lain, mengganggu jiran, mencari aib orang lain, mengadu
domba, mencaci, memaki serta mencela orang lain. Selain itu, sikap mengingkari
janji serta mengugut juga perlu dielakkan (Muhammad Zul Helmi 2010: 143).
Perkara-perkara yang dicela ini jika dielakkan dapat membersihkan jiwa.
Kesimpulan ringkas
yang dapat dibuat adalah dengan mengenal Allah, menjaga hubungan dengan Allah
dan manusia serta menanam sifat yang mulia ini dapat membersihkan jiwa
seseorang serta dapat menghindari diri seseorang itu bersikap dengan
sifat-sifat yang keji.
HALANGAN DALAM MEMBERSIHKAN JIWA
Dalam melakukan setiap kebaikan pasti wujud penghalang. Begitu juga
dengan usaha membersihkan jiwa ini, terdapat beberapa penghalang yang
menghalanginya. Halangan yang paling besar ialah hawa nafsu (Abdullah
Gymnastiar 2005: 119). Hawa nafsu ini amat berat kerana datangnya dari syaitan.
Seperti mana yang diketahui bahawa syaitan itu musuh utama manusia. Seperti
dalam firman Allah dalam Surah al-Faathir ayat 6:
Maksudnya:
Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia
musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak
golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.
Selain itu,
cabaran kehidupan masa kini juga menjadi penghalang dalam membersihkan jiwa
seseorang. Hidup di dunia ini penuh dengan bermacam-macam peristiwa dan
kejadian yang selalu menuntut perjuangan moral (Amina Hj Noor 2000: 173).
Setiap yang dihadapi dalam kehidupan seharian ini sentiasa menuntut kepada
kekuatan iman dan keteguhan pegangan hidup seseorang. Hal ini boleh dilihat
apabila hendak mendapatkan sesuatu dengan mudah, itu membawa kepada seseorang
untuk memberi rasuah. Hal ini boleh menggugat keimanan seseorang daripada terus
bersikap dengan sifat yang terpuji. Selain itu, dugaan dan masalah dalam hidup
juga akan menjadi penghalang. Hal ini kerana, pada ketika itu pemikiran tidak
stabil dan pada ketika itu, mudah bagi seseorang itu untuk membuat tindakan
tanpa memikirkan natijahnya. Ini juga memerlukan kekutan iman dan keyakinan
yang kuat pada Allah supaya tidak terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang
oleh Allah.
Di samping itu,
sifat-sifat keji juga merupakan salah satu penghalang dalam membersihkan jiwa.
Antara sifat keji ialah sombong, tamak, riak dan banyak lagi sifat-sifat yang
mudah menjangkiti hati manusia. Oleh hal demikian, setiap individu itu perlu
menguatkan iman untuk mengelakkan dari menghidapi penyakit yang membawa kepada
sifat-sifat keji.
KEWAJIPAN MEMBERSIHKAN JIWA
Jiwa ini merupakan komponen diri manusia yang penting. Oleh hal
demikian, jiwa ini perlu dijaga supaya tidak dikotori. Jiwa ini perlu dibersihkan
apabila telah kotor kerana setiap tindakan dan peribadi seseorang itu akan terhasil
daripada keputusan jiwa (Ibnu Taymiyyah 2006: 27). Jiwa merupakan raja
segalanya dalam diri manusia. Ini membuktikan bahawa jiwa itu wajib dibersihkan
dan dijaga dengan baik. Hal ini berdasarkan firman Allah dalam ayat 9 dan 10
Surah al-Syams:
Maksudnya:
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia
bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan
Sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu
susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
Jiwa ini sangat
mempengaruhi hidup manusia (Abdullah Gymnastiar 2010: 34). Justeru itu,
dapatlah diketahui bahawa jiwa itu perlu dijaga sebaiknya dan dibersihkan
daripada perkara-perkara yang mengotorinya. Ini adalah bagi menjaga peribadi
seseorang itu juga.
PERIBADI MULIA
Peribadi mulia itu ialah seseorang individu yang mempunyai sikap dan
tingkah laku terpuji yang lahir daripada akhlak yang baik. Akhlak itu akan
memastikan peribadi seseorang. Jika akhlaknya baik maka peribadinya mulia, jika
akhlak buruk maka peribadi seseorang itu akan berat kepada sifat-sifat keji.
Oleh hal demikian dapatlah difahami bahasa peribadi seseorang itu dibentuk oleh
akhlak yang tertanam dalam jiwanya.
Akhlak ini
sebenarnya terdiri hasil daripada akidah. Tanpa akidah sistem akhlak tidak
terbina. Manakala peribadi seseorang itu pula bergantung kepada akhlaknya. Dari
sini dapat dilihat hubungan antara akidah, akhlak dan peribadi. Tanpa akidah
seseorang itu tidak dapat berakhlak dengan akhlak yang baik. Tanpa akhlak yang
baik pula tidak dapat melahirkan seorang individu yang berperibadi mulia (Haron
Din 2007: 13).
Justeru, dapat
disimpulkan bahawa peribadi mulia itu adalah hasil daripada didikan akidah yang
membentuk akhlak baik. Ini bermakna, seseorang yang mempunyai akhlak yang baik
akan berperibadi mulia. Atau dalam erti kata lain, akhlak yang baik atau mulia
itu membawa maksud yang sama dengan peribadi mulia.
KATEGORI PERIBADI MULIA
Apabila diperkatakan mengenai akhlak yang mulia, ini adalah suatu
ruang lingkup yang terlalu luas. Tidak mudah sebenarnya untuk
mengklasifikasikan ciri-ciri akhlak yang mulia ini kerana hal bergantung kepada
setiap diri manusia. Walau bagaimanapun, secara ringkasnya akhlak yang mulia
ini dikategorikan kepada empat iaitu berakhlak mulia terhadap Allah dan Rasul,
terhadap kedua ibu bapa serta berakhlak mulia dalam kehidupan harian dan
kehidupan bersosial.
BERAKHLAK MULIA TERHADAP ALLAH DAN RASUL
Berakhlak mulia terhadap Allah adalah dengan mengabdikan diri
kepada Allah. Sebagai seorang hamba adalah wajib ke atas kita untuk
menghambakan diri kepada Allah kerana kita dicipta semata-mata untuk beribadah
kepada-Nya. Adalah mudah bagi manusia untuk menghambakan diri pada penciptanya
iaitu dengan melakukan setiap perkara yang disuruh dan meninggalkan
perkara-perkara yang dilarang. Meyakini setiap ketentuanNya dan menikmati serta
menggunakan nikmat yang dikurniakan juga merupakan salah satu daripada bukti
mengabdikan diri kepada pencipta alam ini (Hasan Hj Mohd Ali 1996: 1).
Berakhlak mulia
terhadap rasul pula adalah dengan mengasihi Rasulullah SAW. Kasih dan cinta kepada Rasulullah adalah
suatu kemestian dalam kehidupan seorang individu muslim. Setiap muslim mesti
berbuat demikian kerana Baginda adalah orang yang paling berjasa dalam
membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada manusia. Tanpa Rasulullah sudah tentu
manusia berada dalam kegelapan dan kesesatan. Cinta dan kasih terhadap Baginda
dapar direalisasikan dengan mencontohi teladan Rasulullah dalam kehidupan
seharian. Cara hidup Baginda serta sikap yang ada pada diri Baginda perlu
dijadikan contoh dalam kehidupan kita (Hasan Hj. Mohd Ali 1996: 3).
Dapat dirumuskan di
sini bahawa, salah satu daripada peribadi mulia itu ialah berperibadi mulia terhadap
Allah dan Rasulnya. Peribadi mulia ini akan wujud pada diri seseorang itu apabila
jiwanya yang bersih mempunyai kesedaran untuk berperibadi mulia.
BERPERIBADI MULIA TERHADAP IBU BAPA
Ibu bapa merupakan tapak permulaan hidup seseorang. Ibu bapa
sentiasa memberikan segala yang termampu dan kadang kala di luar kemampuan
mereka demi keselesaan anak-anak. Oleh hal demikian, adalah wajib seorang anak
itu menghormati, memuliakan dan mengasihi ibu bapa mereka (Hasan Hj. Mohd Ali
1996: 9).
Berakhlak mulia
dengan kedua-dua ibu bapa ialah dengan mengasihi mereka, menghormati mereka
dari segi perkataan, perbuatan serta perlakuan. Kita juga perlulah berterima
kasih serta mengenang jasa mereka dengan berkhidmat pula kepada mereka setelah
mereka banyak berjasa kepada kita. Selain itu, kita juga perlulah menjaga
hubungan dengan adik-beradik supaya menyenangkan hati kedua-dua ibu bapa kita.
Kehidupan seorang anak itu akan mudah dan berkat dengan restu serta keredhaan kedua-dua
ibu bapa.
BERPERIBADI MULIA DALAM KEHIDUPAN HARIAN
Berakhlak mulia dalam kehidupan harian ialah mengamalkan perkataan
serta perbuatan yang baik dan terpuji (Hasan Hj. Mohd Ali 1996: 43). Amalan
terpuji ini perlulah dilakukan dari awal pagi iaitu ketika bangun tidur
sehingga kembali untuk tidur semula pada waktu malam. Amalan yang terpuji ini
bukan sahaja terhadap diri sendiri malah terhadap setiap yang berada di
sekeliling kita sepanjang menjalani kehidupan seharian. Ini adalah memastikan
kehidupan seharian kita berjalan dengan lancar dan di dalam berkat dan rahmat
Allah.
Antara amalan yang
baik yang perlu dilakukan ialah, membaca doa ketika hendak melakukan setiap
perkara seperti doa bangun tidur, doa masuk tandas, doa berpakaian, doa makan,
doa keluar rumah, doa naik kenderaan dan setiap perkara yang hendak dilakukan.
Selain itu, kita perlu bersabar dalam setiap perkara, bertolak ansur dengan
orang lain, menyempurnakan janji, membantu orang yang susah, serta menjaga
tutur dan adab dalam setiap keadaan. Pelbagai amalan baik yang boleh dilakukan
dalam kehidupan seharian yang lahir daripada jiwa yang bersih. Oleh hal
demikian, jiwa seseorang itu perlu dijaga supaya bersih dari perkara-perkara
yang mengotorinya agar dapat berperibadi mulia.
BERAKHLAK MULIA DALAM
KEHIDUPAN BERSOSIAL
Sebagai manusia yang diciptakan oleh Allah, kita secara fitrahnya
akan hidup dalam bermasyarakat. Hal ini demikian kerana, tiada suatu perkara
pun yang dapat dilakukan dalam keadaan sendirian. Setiap yang tidak mengetahui
perlu diajarkan, setiap yang tidak boleh perlu kepada bantuan. Oleh hal
demikian, dalam meneruskan kehidupan di bumi ini kita tidak boleh bersikap
individualistik iaitu mementingkan diri sendiri tetapi perlulah berakhlak mulia
dalam bermasyarakat (Ibid: 175).
Antara akhlak
mulia yang boleh diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat ialah dengan
mengamalkan akhlak mulia ketika berada di samping orang tua iaitu menghormati
mereka dengan bertuturkan perkataan yang sopan, ketika di rumah di samping
jiran-jiran pula kita perlu bertolak ansur iaitu memahami cara kehidupan
mereka. Selain itu, melayan tetamu, menerima jemputan, memberi salam dan memberi
bantuan kepada yang memerlukan juga merupakan amalan mulia yang perlu dilakukan
dalam kehidupan bermasyarakat. Ini adalah bagi memastikan tiada kekeruhan dan
kekecohan di antara masyarakat.
KESIMPULAN
Jiwa ini adalah seperti tanaman, tidak akan tumbuh berkembang dan
menjadi baik kecuali jika diberi sesuatu yang bermanfaat dan dijauhkan dari
segala yang merosakkan. Meninggalkan perbauatan keji dapat menjadikan jiwa
bersih. Apabila jiwa bertaubat atas dosa-dosa yang dibuat dengan membersihkannya
maka kekuatan jiwa akan kembali pulih. Keinginan untuk beramal soleh akan
datang.
Semua perbuatan
manusia itu berdasarkan pada jiwa. Keadaan jiwa akan menentukan sama ada
sesuatu itu memberi manfaat atau mudarat. Walau bagaimanapun, yang paling
penting ialah keadaan jiwa itu mesti bersih dan seimbang. Kesedaran yang lahir
daripada jiwa juga penting dalam membentuk peribadi seseorang. Apabila dalam
jiwa itu bertekad untuk mengikut jalan yang lurus iaitu cara hidup Islam, maka
peribadi yang lahir dari jiwa yang bersih itu adalah peribadi yang mulia.
Membersihkan jiwa
itu merupakan salah satu cara membentuk peribadi seseorang. Hal ini adalah
berdasarkan tujuan diutuskan rasul kepada manusia ialah untuk membentuk akhlak
umat manusia. Perintahkan membersihkan jiwa turut disebutkan dalam al-Quran
yang diturunkan oleh Allah iaitu dalam Surah al-Jumu’ah ayat 2:
Maksudnya: Dia lah Yang telah mengutuskan dalam kalangan
orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari
bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang
membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari
iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah
(pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan Sesungguhnya
mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.
Imam Al-Qurtubi telah menghuraikan ayat di atas dengan menyatakan
tugas Rasulullah adalah sebagai seorang agen pembangunan insan. Salah satu
daripada kaedah yang digunakan oleh Rasulullah dalam membentuk peribadi manusia
ialah dengan membersihkan jiwa manusia.
Oleh hal demikian, secara tegasnya dapat diperkatakan bahawa
membersihkan jiwa itu merupakan salah satu kaedah dalam membentuk peribadi
mulia. Kesimpulannya, adalah tepat bahawa kebersihan jiwa itu asas peribadi
mulia. Ini bermakna, seseorang yang mempunyai jiwa yang bersih pasti akan berperibadi
mulia.
RUJUKAN
Abdullah Gymnastiar. 2005. Aku
Bisa, Manajemen Qolbu untuk Melejitkan Potensi. Bandung. Khas MQ.
Abdullah Gymnastiar. 2010. Mencari Ketenangan Jiwa. Kuala
Lumpur. Must Read Sdn. Bhd.
Amina Hj. Noor. 2000. Menjana Jiwa
yang Luhur dan Kental. Selangor. Penerbitan Darul Iman Sdn Bhd.
An Najwa. 1996. Bagaimana Memiliki Jiwa yang Tenang.
Selangor. Pustaka Ilmi.
Haron Din. 2007. Islam Rujukan Efektif Akhlak Mulia. Selangor.
PTS Millennia Sdn. Bhd.
Hasan Hj. Mohd Daud. 1996. 100
Akhlak Mulia. Kuala Lumpur. Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Ibnu Taymiyyah. 2006. Jangan
Biarkan Penyakit Hati Bersemi. Jakarta. PT Serambi Ilmu Semesta.
Mohd Baqir Mohd Ali. 1996. Latihan
dan Perjalanan Orang-orang yang Mensucikan Hati. Kuala Lumpur. Era Ilmu
Sdn. Bhd.
Muhammad Zul Helmi. 2010. Kenal
dan Sucikan Jiwamu. Kuala Lumpur. Mulia Terang Sdn. Bhd.
Zuridan Mohd Daud. 2010. Penyucian Jiwa. Kuala Lumpur. Must
Read Sdn. Bhd.